Pemohon Lebih Had Kelayakkan Dapat Rumah Di P.Pinang


GEORGETOWN - Pematuhan terhadap syarat permohonan Program Perumahan Kos Rendah (PPKR) di Pulau Pinang tidak memuaskan kerana ada pemohon yang melebihi hak kelayakan mendapat rumah, manakala yang benar-benar layak masih menunggu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Laporan itu menyebut, bagi tempoh 2014 hingga 2016, seramai 208 pemohon yang berpendapatan melebihi RM2,500 menerima rumah kos rendah dan pemohon berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,500 mencatat bilangan kelulusan tertinggi iaitu 162 pemohon.

"Bagi tempoh sama, didapati sebanyak empat kes permohonan diluluskan melibatkan pemohon yang mempunyai pendapatan melebihi RM8,500," menurut laporan audit berkenaan yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Laporan itu juga menyebut terdapat 490 pemohon PPKR dan 666 pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) belum mendapat rumah walaupun mendaftar permohonan melebihi 15 tahun.

Antara sebab (masalah) itu ialah kelemahan proses migrasi data pemohon dari sistem lama kepada baharu dan audit juga mendapati tiada perancangan untuk pembangunan projek perumahan baharu walaupun Akaun Amanah Pelbagai Bagi Pembiayaan Projek Perumahan Awam Kos Rendah mempunyai baki yang tinggi.

Menurut laporan itu sehingga Ogos 2016, akaun amanah berkenaan mempunyai baki sejumlah RM121.99 juta dan terimaan sejak 2013 tidak dibelanjakan.

Laporan itu juga menyebut sebanyak 436 PPR masih kosong walaupun sebanyak 3,747 permohonan bagi enam rancangan perumahan di Pulau Pinang masih dalam senarai menunggu rumah PPR.

"Pengurusan pengagihan rumah kurang memuaskan kerana kegagalan menawarkan sebahagian unit rumah dan ini menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil sewa dan tindakan proses pengisian unit kosong juga perlahan walaupun terdapat pemohon dalam senarai menunggu," katanya.

Sementara itu maklum balas Bahagian Perumahan yang diterima pihak audit pada 17 Mac 2017 menyatakan bahagian itu sedang mengemas kini data nama penghuni dalam senarai menunggu PPR yang bertindih, manakala perancangan bagi menggunakan wang di dalam akaun amanah bergantung kepada keputusan Pihak Berkuasa Negeri.

Dalam pada itu, laporan berkenaan juga menyebut terdapat penyewa atau pembeli yang masih menduduki rumah PPKR dan PPR yang mempunyai tunggakan sewa sehingga RM43,748 dan tunggakan penyenggaraan sehingga RM6,240 yang meliputi tempoh tunggakan antara 280 bulan dan 312 bulan.

"Analisis audit selanjutnya terhadap tunggakan sewa rumah PPR bagi 2,900 unit rumah mendapati terdapat peningkatan sejumlah RM2.85 juta dari 2013 sehingga Oktober 2016 melibatkan tempoh tunggakan antara satu hingga 186 bulan," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut mengikut Perjanjian Penyewaan Tahun 1999, penyewa bersetuju dan membenarkan kerajaan negeri menyita rumah penyewa bagi tujuan mendapatkan semula sewa tertunggak sekiranya penyewa gagal membayar sewa selama tiga bulan berturut-turut.

"Pihak audit berpendapat pengurusan kutipan dan tunggakan adalah tidak memuaskan dan Bahagian Perumahan perlu mengambil langkah lebih drastik untuk mengutip balik tunggakan supaya baki tunggakan tidak terus meningkat," menurut laporan itu.

Pihak audit juga mengesyorkan agar tindakan tegas diambil terhadap kes-kes pelanggaran syarat serta mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan setiap penghuni mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan. - Bernama