ALOR SETAR - Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering 'mempelawa' pihak berkuasa menyiasat dan 'menangkapnya' apabila ada pihak mendakwa beliau salah guna kuasa semasa menjadi Perdana Menteri.
Namun apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini menyiasat syarikat anaknya, beliau tiba-tiba jadi 'melatah'.
Anak-anaknya pun turut 'melatah'.
Sehubungan itu Pergerakan Pemuda UMNO Kedah meminta bekas Perdana Menteri itu supaya jangan 'melatah' atau mengalih telunjuknya kepada orang lain apabila beberapa syarikat milik anaknya disiasat.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan itu merupakan prosedur biasa yang dilakukan LHDN yang mana tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak.
“Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya pihak berkuasa sedang menjalankan tugas mereka dengan telus dan penuh professional tanpa mengambil kira sentimen tertentu.
“Atas prinsip, berani kerana benar maka Pemuda UMNO Kedah menggesa agar Tun Mahathir tidak melatah dan melompat apabila pihak LHDN menjalankan tugas mereka.
“Kita yakin prosedur yang sama dilakukan atas mana-mana syarikat tanpa mengira apa jua hubungan kekeluargaan dengan pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pemimpin UMNO dan BN sebelum ini pun didakwa dan ada yang dipenjarakan kerana salah guna kuasa.
Pemuda berharap agensi kerajaan yang menjalankan siasatan itu dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang tekanan, katanya lagi. - Kedahnews.com