ALOR SETAR- Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar berikrar untuk mempertahankan
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata yang diwakili oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada pilihan raya umum ini.
Malah Pemuda juga akan membantu BN bagi menawan kembali DUN Alor Mengkudu, DUN Kota Darulaman dan Parlimen Alor Setar yang dimenangi pembangkang..
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pemuda Alor Setar, Datuk Syed Hafiz Syed Mustafa kepada Kedahnews.com apabila ditanya usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menawan hati pengundi di kawasan berkenaan.
PPBM dikatakan memfokuskan Bakar Bata bagi menumbangkan wakil rakyat kawasan itu yang dimenangi oleh Ahmad Bashah lima penggal berurut-turut. Usaha pemimpin parti PPBM itu bagi 'membalas dendam' di atas 'pengguguran' Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Februari tahun lepas.
Kerusi itu bukan sahaja menjadi tumpuan PPBM tetapi juga PKR, PAN serta PAS kerana majoriti yang dimenangi oleh BN pada PRU13 dianggap kecil, iaitu 895 undi.
Bagaimanapun PPBM mungkin tidak menyedari, kerusi Bakar Bata yang dahulunya dikenali Alor Merah dikuasai oleh UMNO sebelum Ahmad Bashah menjadi wakil rakyat di situ pada 1995.
Menurut Syed Hafiz lagi, penduduk Alor Setar tentu lebih memahami tentang perkhidmatan yang diberikan oleh Ahmad Bashah, UMNO dan komponen BN berbanding Ahli Parlimen pembangkang daripada PKR, Gooi Hsiao-Leung.
"Walaupun kalah, UMNO terus memberikan khidmat yang sebaik mungkin kepada penduduk di kawasan Alor Setar, " kata Syed Hafiz.
Ahmad Bashah selaku Pengerusi Perhubngunan UMNO telah memberikan servis yang terbaik kepada masyarakat apatah lagi setelah beliau dilantik sebagai Menteri Besar lebih setahun setengah yang lalu.
Menteri Besar bukan orang luar atau orang baru di bandar ini kerana sejak zaman pemuda lagi beliau telah bergiat cergas dalam UMNO dan memberikan perkhidmatannya, kata Syed Hafiz.
Begitu pun katanya, Pemuda tidak akan 'duduk diam' walaupun pihaknya menyedari sokongan PPBM sekadar 'indah khabar dari rupa' sahaja.
" Kami akan berusaha pertahankan Bakar Bata dan menawan semula kerusi Parlimen Alor Setar serta DUN Alor Mengkudu walaupun menghadapi cabaran yang agak berbeza dengan suasana PRU yang lalu, kerana kali ini berdepan dengan bekas pemimpin UMNO, " kata beliau.
Sementara Syed Hafiz juga mengajak ahli dan penyokong BN agar menerima siapa juga yang dicalonkan pada PRU 14, kerana kemenangan parti pemerintah adalah lebih penting daripada siapa juga calonnya.
" Kita tidak mahu lagi rakyat Kedah gelisah sepertimana PRU12 pada 2008 lalu apabila diperintah oleh Pakatan Rakyat, " ujarnya lagi - Kedahnews.com.