Pencarian Anak Kapal Hilang Beralih Ke Arah Utara Tempat Kejadian


JOHOR BHARU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga anak kapal USS John S McCain yang hilang di perairan Teluk Ramunia, dekat sini, tertumpu di kawasan seluas 360 batu nautika di utara kapal pemusnah itu berlanggar dengan kapal dagang MT Alnic Mc, Isnin lalu.

Difahamkan, tumpuan terarah ke utara dari tempat kejadian susulan penemuan satu mayat pada jam 3.45 petang kelmarin dan perubahan arus.

Pegawai Pemerintah KD Lekiu, Kepten Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata, operasi dijalankan bermula jam 7 pagi dengan kawasan sasaran hari ketiga di kawasan utara tempat kejadian.

“Kami masih menggunakan aset sama dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk mengesan mangsa.

“Alhamdulillah, cuaca baik sepanjang pencarian namun buat masa ini kami masih belum menemui mangsa terbaru,” katanya ketika ditemui di KD Lekiu, di sini, semalam.

Menurutnya, usaha Carilamat hari ketiga ditamatkan pada jam 7.30 malam dan bersambung semula jam 7 pagi esok (hari ini). Jam 9 pagi semalam, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyerahkan satu mayat lelaki berkemeja dan berseluar pendek dipercayai seorang daripada anak kapal USS John S McCain kepada tentera laut Amerika Syarikat.

Mayat berkenaan ditemui KD Handalan jam 3.45 petang kelmarin di kedudukan 7 batu nautika dari lokasi dua kapal itu berlanggar.

Mayat itu kemudian dibawa ke Singapura dipercayai untuk ujian DNA bagi memastikan sama ada ia milik seorang daripada 10 anak kapal yang hilang.

Ia dilakukan susulan sukar membuat pengecaman kerana mukanya dikatakan hancur dipercayai dimakan hidupan laut manakala semua anggota tubuhnya sempurna.

Kelmarin, penyelam operasi mencari dan menyelamat kelasi USS John S McCain di Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, menemui satu mayat di dalam kapal itu.

Komander Pangkalan Pasifik Amerika Syarikat (AS), Laksamana Scott Swift dipetik sebagai berkata, mayat mangsa ditemui dalam bahagian kapal yang ditutup selepas pelanggaran itu.

“Penyelam menemui mayat ketika operasi pencarian hari ini (kelmarin) di dalam bahagian kapal yang ditutup,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi Isnin lalu, kapal USS John S McCain bertembung sebuah kapal tangki minyak MV Alnic, berhampiran Pengerang dan Pulau Batu Putih menyebabkan 10 anak kapal hilang, manakala lima lagi tercedera.

Sementara itu, jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) Mohd Azren Jamaludin dan jurukamera TV3, Idros Rahmat menyertai operasi Carilamat dengan menaiki helikopter Super Lynx di Pangkalan KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, yang dikendalikan Komander Hairul Afikin Tukimin dibantu Pegawai Taktikal, Leftenan Komander Suhairi Mohamad serta Pegawai Waran 1, Noorfadli Ariffin.

Selain pencarian menggunakan aset udara TLDM dan ATM menggunakan helikopter Super Lynx dan dua Agusta di tiga kawasan, Carilamat menggunakan lapan kapal termasuk KD Lekiu, KD Handalan dan KD Gempita.

Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyertai Carilamat dengan menggunakan asetnya.

Sumber: MyMetro