Kegigihan atlet pelapis olahraga, Nik Fariezal Erman Nik Abd Hadi berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA Ke-29 (KL2017) telah menarik perhatian penerbit filem Blok 404, Datuk Boy Iman untuk tampil menajanya.
Melalui penajaan syarikatnya, DBI Technology Sdn Bhd., atlet acara lompat kijang itu menerima tajaan berbentuk wang tunai serta barangan sukan.
Boy yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, DBI Technology, berkata, tajaan yang diberikan Nik Fariezal Erman, 21, merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam membantu bidang sukan terutama di kalangan atlet muda negara
"Kami berasa sangat berbesar hati dan bangga kerana dapat menaja atlet muda yang merupakan sumper inspirasi rakyat Malaysia untuk bertanding pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara ini.
"Nik Fariezal telah membuktikan impian kita mampu menjadi kenyataan jika berusaha bersungguh-sungguh biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Fariezal Erman yang merupakan anak jati Dungun, Terengganu kini berada di kedudukan nombor dua di belakang pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail.
Kegigihan pemegang pingat emas acara lompat kijang dan ingat perak acara lompat jauh di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun lalu mencuri perhatian DBI Technology.
Dia berlatih sejak akhir tahun lalu tanpa mendapat sebarang elaun bulanan dan bantuan tempat tinggal dengan menggunakan wang saku sendiri dan menumpang di rumah orang.
Berdepan kesulitan berulang-alik ke tempat latihan menaiki motosikal yang sering mengalami kerosakan, anak ketiga daripada enam beradik itu turut menghadapi masalah kewangan untuk menampung kehidupan seharian.
Biarpun sesibuk mana menjalani latihan dua kali sehari, Nik Fariezal terpaksa melakukan kerja sambilan untuk mencari wang. Antara kerja yang pernah dilakukannya adalah menjaga parkir dan pengawal keselamatan.
Malah lebih menyedihkan, dia menyertai Terbuka Thailand pada Ramadan sebagai pemilihan terakhir ke KL2017 hanya berbekal wang saku berbelas ringgit sahaja.
Namun dia mempamerkan aksi cemerlang dengan catatan sejauh 15.29 meter di kejohanan itu sekali gus meletakkan dirinya kini berada di kedudukan kedua di Malaysia pada tahun ini dan layak ke KL2017.
Untuk rekod, anak jati Dungun ini merupakan pemenang pingat Perak Kejohanan Sekolah Asia dan pingat emas Kejohanan Sekolah ASEAN tahun 2014, pingat Perak Kejohanan Terbuka Malaysia (2015) dan finalis Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Doha, Qatar (2016).
Jelas bakal mahasiswa Universiti Putra Malaysia ini, pada KL2017 ini, dia hanya mahu menumpukan fokus untuk mengatasi catatan peribadinya sejauh 15.53 meter dan tidak mahu membebankan diri dengan sasaran pingat.
Walaupun tetap tersirat di hati memenangi pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini, dia yakin idolanya, Muhammad Hakimi mampu mempertahan pingat emas di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.
"Jika rezeki saya menang pingat, sudah pasti hendak dedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada atlet negara," katanya yang akan beraksi pada malam 23 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sumber: MalaysianDigest