Penganggur Terduduk Selepas Dengar Dihukum Mati


MELAKA – Seorang penganggur kelihatan lemah sebelum terduduk di dalam kandang tertuduh sebaik mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana didapati bersalah menculik dan membunuh seorang remaja lelaki tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Firuz Jaffril menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Low Chiew Mun, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Chiew Mun didakwa menculik dan mengurung M. Gunaseelam, 13, bagi mendapatkan wang tebusan RM20,000 di dalam sebuah premis di Taman Merdeka Jaya, Batu Be­rendam di sini pada pukul 6.30 petang, 20 April 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 (Akta 365) yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Selain itu, Chiew Mun turut didakwa membunuh Gunaseelam pada tarikh, masa dan lokasi sama di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Gunaseelam merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan bapanya hanya be­kerja kontrak. Lokasi mangsa ditemui mati ialah di sebuah rumah kedai yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari kediaman keluarganya.

Mohd. Firuz dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan bercampur-aduk malah ada yang tidak dinyatakan ketika perbicaraan berlangsung.

“Setelah membuat pertimbangan, pihak pembela didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah dan dengan itu saya tiada pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atas kamu,” katanya.

Chiew Mun yang pada awal prosiding kelihatan tenang dengan berdiri di dalam kandang tertuduh tetapi dia terus lemah sebelum terduduk sebaik mendengar keputusan dijatuhi ke atasnya.

Sumber: Kosmo