Pengarah Mydin Tidak Kisah Pakai 'Tie' RM12.90


SUBANG JAYA – “Nak cantik, bergaya tak semestinya pakai barang mahal, berjenama,” demikian prinsip dipegang Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Orangnya cukup ‘sempoi’ tapi penuh bergaya. Saat bertemu dengannya pada sesi temu bual baru-baru ini, usahawan berjaya berusia 61 tahun itu tidak malu mengaku apa digayakannya bukan barangan berjenama, jauh sekali yang mahal-mahal.

“Anda rasa, berapa harga tie (tali leher) saya ni?” tanya beliau sambil membetulkan kedudukan tali lehernya.

Mendengar jawapan penulis mengenai harga sepatutnya dan dirasakan ‘kena’ dengan jawatannya sebagai pengarah urusan, Ameer Ali hanya tersenyum.

“Ini ‘tie’ (tali leher) Mydin, ‘brand’ Titan. Harganya hanya RM12.90. Ada dijual di bawah (Pasaraya Mydin). Orang tengok, mungkin orang ingat jenama mahal kan sebab ada yang tak pernah dengar jenama ni.

“Kalau dibungkus kemas-kemas, orang akan kata cantik dan mahal. Tapi, sebenarnya ada dijual di Mydin. Cuma, kalau letak jenama Mydin, orang katalah murah. Bila letak nama Titan macam ni, orang pun tak tahu ia jenama mahal atau murah.

“Sebabnya, sekarang terlalu banyak jenama yang ada di pasaran dan ada yang jual produk mereka pada harga mahal,” katanya kepada Sinar Online.

Ameer Ali berkata, sejak kecil, beliau memang tidak pernah memiliki barang berjenama mewah kerana paling penting, apa dipakainya kelihatan cantik dan kena pada tempatnya.

“Cara dan gaya kita bawa diri akan boleh nampak ia seperti mewah,” kata anak kedua daripada tujuh beradik ini penuh berkeyakinan.

Menurutnya, sejak kecil, beliau sudah dididik mengamalkan kehidupan yang sederhana.

“Apa yang saya amalkan, begitu juga ia diterapkan dalam perniagaan. Mydin, harga murah, tetapi kualiti terbaik. Mydin menyediakan pelbagai barangan dan jenama untuk golongan sederhana di Malaysia. Biarlah membeli menang memakai,” katanya.

Ameer Ali berkata, sebelum akur dengan permintaan arwah bapanya untuk menceburi bidang perniagaan, beliau bertugas sebagai pengurus di Arab Malaysian Merchant Bank.

Katanya, beliau menjaga cawangan ketiga Mydin yang pertama di Lembah Klang, iaitu di Jalan Masjid India pada 1987.  

Umum mengetahui sejarah penubuhan Mydin adalah pada 1957 di mana, kedai pertamanya di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan yang diasaskan oleh bapa Ameer Ali iaitu Mydin Mohamed Ghulam Hussein.

Selepas 22 tahun, Pasaraya Mydin mengorak langkah dengan membuka cawangan keduanya di Kuala Terengganu pada 1979.

Kini, empayar Mydin berkembang pesat dan dikenali sebagai Mydin Mohamed Holdings Berhad.

Menyambut ulang tahun ke-60, Mydin meneruskan langkah perniagaannya dengan membantu orang ramai berbelanja, khususnya golongan pertengahan dan berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Inilah fardu kifayah kami. Mydin juga seberapa boleh nak bantu orang ramai menjimatkan wang ketika berbelanja. Dalam perniagaan ini, kami tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Cukuplah dengan memberi fokus kepada golongan tertentu, itu sudah memadai,” katanya.

Ameer Ali berkata, Mydin sentiasa mengamalkan harga berpatutan buat pelanggannya.

“Dah 60 tahun kami bertapak dengan 322 cawangan di serata Malaysia dan insya-ALLAH akan menambah tiga lagi tahun ini. Sempena 60 tahun ini juga sudah pasti Mydin menyediakan sesuatu yang terbaik buat pelanggan setia kami,” katanya.

Tagline 'Mengapa Bayar Lebih, Belilah Dengan Harga Borong!' membuatkan Mydin kekal bertahan begitu lama, ditambah dengan ramuan diamalkan dalam perniagaannya, membuatkan pasar raya ini terus melekat di hati pengguna.

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, dan persaingan dalam bidang ini, tetapi saya bersyukur kerana dengan kakitangan dan pelanggan setia, kami masih lagi mampu memberikan yang terbaik buat semua,” kata Ameer Ali.

Sumber: Sinar Harian