Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Dua Rakan


KLANG - Seorang pengawal keselamatan berdepan dengan hukuman mati selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan membunuh dua rakan sekerjanya di premis penyembelihan ayam, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Ferdaus Suwardi.

Dia didakwa membunuh Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Rehuan,23 dan Wan Amir Hamzah Wan Abu Hassan ,48.

Kesalahan itu dilakukan di pusat penyembelihan ayam, Jalan Bukit Kuda, Klang antara jam 6.30 pagi dan 9 pagi pada 31 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret, Nor Asma Ahmad menetapkan 4 Oktober depan untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 3 Ogos lalu, media melaporkan, mangsa ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan perut terburai, tangan hampir putus dipercayai ditetak.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui dua hari selepas kejadian oleh majikannya.

Syed Mohd Fazrul merupakan anak saudara kepada Wan Amir Hamzah yang tinggal bersama di premis berkenaan.

Sumber: Sinar Harian