KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya lima terbunuh selepas pengebom berani mati meletupkan diri di hadapan sebuah bank di ibu negara Afghanistan, semalam.
Menurut jurucakap polis, Basir Mujahid, penyerang melancarkan serangan ketika ramai anggota pasukan keselamatan ke bank untuk mengutip gaji mereka.
"Cawangan Bank Kabul mungkin sasaran utama serangan tersebut dan ia berlaku tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS). Sembilan orang turut cedera dalam serangan itu," katanya.
Jurucakap kumpulan militan Taliban, Zabihullah Mujahid mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan di mana mereka biasanya menyasarkan bank terutamanya pada hujung bulan atau menjelang perayaan utama.
Sejak beberapa bulan lalu, Kabul sering digegarkan dengan beberapa serangan bom disyaki dilakukan Taliban atau Daesh yang telah dapat kedudukan utama di timur negara itu.
Menurut perangkaan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 209 orang awam terbunuh manakala 777 yang lain cedera dalam serangan di ibu negara.
Sumber: Sinar Harian