Turku (Finland) - Seorang remaja dikenal pasti rakyat Maghribi dan peminta suaka di Finland menyerang orang ramai menggunakan pisau, menyebabkan dua orang terbunuh sementara lapan lain cedera di Turku.
Dalam kejadian jam 4 petang (waktu tempatan) Jumaat itu - sehari selepas serangan dua berdarah di Sepanyol - lelaki berusia 18 tahun terbabit cedera ditembak dan kini ditahan di hospital.
Superintendan Christa Granroth dari Biro Siasatan Kebangsaan Finland (NBI) memberitahu wartawan pihaknya mengesyaki suspek sengaja menyasarkan wanita dalam serangan itu.
“Kami percaya sasarannya hanya wanita manakala mangsa lelaki cedera kerana cuba mempertahankan mereka,” katanya.
Enam wanita dan dua lelaki cedera dalam kejadian yang disifatkan serangan pengganas itu.
Susulan itu, polis turut menahan lima orang di sebuah apartmen di Turku sepanjang malam Sabtu.
Detektif Superintendan Markus Laine, juga dari NBI berkata: “Kami melakukan serbuan dan kini sudah menahan enam orang termasuk penyerang yang cedera ketika kejadian.
“Kami masih menyiasat peranan lima suspek yang ditahan bersama dan buat masa ini masih belum dapat memastikan sama ada mereka memainkan peranan dalam serangan itu.
“Apa yang pasti, mereka berhubung dengan suspek utama.”
Tahap keselamatan ditingkatkan di seluruh negara terutama di stesen kereta api dan lapangan terbang. Polis turut dikerahkan membuat rondaan di bandar utama.
Sumber: Metro