Pengguna LRT Dibenar Bawa Masuk Basikal Setiap Minggu Pertama Dan Ketiga Hari Ahad


KUALA LUMPUR - Orang ramai kini boleh membawa masuk basikal bersaiz penuh ke dalam gerabak tren terpilih di Transit Laluan Ringan (LRT) Kelana Jaya, Ampang dan Sri Petaling.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian pada minggu pertama dan ketiga masing-masing pada hari Ahad, bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Katanya, langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota serta memelihara alam sekitar.

"Ia juga adalah sebahagian inisiatif Rapid Rail untuk meningkatkan bilangan penumpang.

"Untuk makluman semua, konsep bawa masuk basikal ke dalam tren dibuat selepas mendapat persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaras dengan pelaksanaan program 'KL Car Free Morning'.

"Malah, semasa kajian bagi membenarkan basikal bersaiz penuh 'menaiki' LRT dibuat menerusi Twitter @MyRapidKl, 80 peratus pengguna bersetuju dengan cadangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis 'Bike & Ride' di Stesen LRT Bandaraya, di sini, hari ini.

Sumber: BH Online