Pengundi Mahu PAS Bergerak Solo, Jentera Parti Sudah Sedia Hadapi Tiga Penjuru - Dr. Zuhdi


SEPERTI yang sedia maklum, pengundi PAS agak sukar untuk meninggalkan parti mereka sejak dahulu walaupun ada pemimpin mereka keluar parti dan parti terbelah dua.

Logo bulan purnama dan warna hijau telah 'melekat' di hati mereka.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki mendakwa berdasarkan kajian pihaknya pengundi mereka mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai Pakatan Harapan (PH) ataupun BN.

Berikutan itu, jelas bekas pensyarah kanan Universiti Malaya itu, adalah sukar menjalinkan semula kerjasama dengan PKR walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kedua-dua parti itu masih boleh berbincang soal kerusi pada pilihan raya umum (PRU).

“Apa yang dicadangkan itu teramat sukar tetapi tidak mustahil,” katanya, mengulas kenyataan Wan Azizah.

“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru,” katanya dipetik sebuah portal.

Menurutnya, sebarang rundingan semula dengan PKR akan menyebabkan strategi PAS terpaksa “berpusing 180 darjah”.

“Persiapan jentera kita sudah hampir siap dan sudah hampir 100% dengan sasaran pilihan raya.”

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru  ini.

Beberapa pemimpin kanan parti PAS, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri mengeluarkan kenyataan berkali-kali di akhir-akhir ini bahawa PAS tidak akan kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang yang dikepalai oleh DAP. - Kedahnews.com