Penjara 15 Bulan Balasan Kerana Curi Ambulans


KUALA KRAI - Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam selepas didakwa mencuri ambulans Hospital Kuala Krai, Jun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Amal Razim Alias selepas tertuduh, Abdull Annas Ibrahim, 34, dari Machang mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa pada tarikh hukuman diputuskan.

Pendakwaan dilakukan pegawai Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, Inspektor Mohd Fairus Rosly.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri ambulans berkenaan yang dihantar ke bengkel untuk dibaiki, pada 21 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, pengadu telah menerima sebuah ambulans berwarna putih, jenis Toyota Hiace milik Hospital Kuala Krai, kira-kira jam 2.30 petang, di bengkel kereta di Jalan Besar Guchil.

Kenderaan itu dihantar oleh kakitangan Radicare Kota Bharu ke bengkel kerana mengalami kerosakan sistem brek.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 pagi, 21 Jun lalu, pengadu mendapati ambulans tersebut hilang dan terdapat cermin pecah bertaburan di hadapan bengkel.

Hasil rakaman percakapan dengan pengadu mengatakan kali terakhir meletakkan ambulans berkenaan di kawasan terbuka di bengkelnya, dalam keadaan berkunci.

Hasil pemeriksaan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) hanya memfokuskan di hadapan bengkel sahaja.

Pengadu kemudiannya membuat laporan di IPD Kuala Krai.

12 Julai lalu, tertuduh didakwa di hadapan Majistret Tuan Mohd Isa Mohamad dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli di Mahkamah Majistret Tanah Merah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM7,500.

Sumber: Sinar Harian