Penjara Lima Tahun Kerana Bakar Surau Dengan Pemetik Api


KOTA BHARU – Taktik seorang penganggur yang menghisap rokok di belakang sebuah surau sebelum membakar bangunan kayu itu dengan menggunakan pemetik api pada Jun lalu terbongkar selepas dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Akibat perbuatannya itu tertuduh, Sham Sudirman Mat Husin @ Husain, 39, dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Sham Sudirman mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sham Sudirman didakwa telah melakukan khianat menggunakan pemetik api dengan maksud atau mengetahui perbuatan itu boleh mengakibatkan kebinasaan Madrasah Haji Idris, Kampung Kota, Jalan Salor di sini pada pukul 7.20 malam, 24 Jun lalu.

Bagi kesalahan tersebut tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad yang mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana kebakaran tersebut telah menyebabkan kerosakan harta benda awam.

Sumber: Kosmo