Penunggang Motosikal Maut Terbabas


JASIN - Seorang penganggur maut dalam satu kemalangan jalan raya apabila kenderaan ditunggangnya dipercayai terbabas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dari arah Muar ke Melaka di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, Ikram Ahmad Fauzi, 20, mengalami kecederaan parah di kepala manakala motosikal Yamaha 125R bernombor pendaftaran MBA 1035 yang ditunggangnya remuk di bahagian hadapan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa terbabas dan melanggar pokok di pembahagi jalan, menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Pihak polis meminta saksi kejadian tampi bagi membantu siasatan kerana polis percaya terdapat rakan-rakan mangsa yang turut sama di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Arshad, polis juga tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti lumba haram semasa kejadian.

Sumber: Utusan Online