KAMPAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, saintis termasuk saintis muda seharusnya memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar serta peraturan berkaitan kemajuan sains dan teknologi.
Baginda bertitah, saintis boleh menggunakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk memastikan kemajuan sains serta teknologi itu dapat dikawal dan diuruskan dengan berkesan bagi manfaat semua manusia.
"Sumbangan berguna juga boleh dilakukan menerusi pertukaran dan debat berkaitan sains yang melangkau sempadan seperti program ini," titah baginda ketika merasmikan program Kem Sains Asia 2017 di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Presiden UTAR, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik.
Seramai 340 peserta terdiri daripada pelajar universiti dari 30 negara termasuk Malaysia menyertai program selama tujuh hari itu bermula semalam.
Sultan Nazrin bertitah, cabaran daripada perubahan sains dan teknologi ketika ini dan kesannya terhadap masa depan harus diteliti dan dibincangkan secara terbuka.
Baginda bertitah, semakin banyak masyarakat memahami perubahan yang sedang berlaku, maka semakin mudah untuk mengawalnya dan digunakan dengan lebih berkesan.
Sumber: BH Online