CHUKAI - “Sebelum ini suami tak pernah keluar rumah dengan berseluar pendek dan berjalan kaki. Pada masa sama, suami akan beritahu saya ke mana dia hendak pergi.
“Rupa-rupanya, ia petanda suami akan pergi buat selama-lamanya,” kata Siti Hawa Abd Majid, 52, isteri kepada Hazron Yussof, 54, yang ditemui lemas di Sungai Cherul, berhampiran Kampung Lubuk Batu, dekat sini, kelmarin.
Hazron sebelum itu dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu.
Difahamkan, mangsa yang bermalam di kebunnya selepas keluar rumah di Cheneh Bahru selepas Asar, pergi ke Sungai Cherul 500 meter dari kebunnya itu untuk memancing.
Namun, selepas dua hari tidak pulang ke rumah, seorang daripada anaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Siti Hawa berkata, sebelum menetap di Cheneh Baru, mereka tinggal di kawasan kebun berhampiran lokasi kejadian.
“Kerana itu saya tidak risau sangat apabila dia pergi ke kebun. Tapi, kali ini timbul juga pertanyaan dalam hati kerana dia tak bawa motosikal seperti selalu.
“Memang menghairankan kerana kebun kami agak jauh iaitu 10 kilometer dari rumah,” katanya.
Mayat mangsa ditemui beberapa pemancing, lima meter dari tebing sungai, jam 1 tengah hari kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mayat mangsa dibawa keluar menggunakan bot dan kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Sumber: MyMetro