IPOH - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Ipoh berjaya mengumpul dana sejumlah RM133, 818 melalui penganjuran Majlis Jamuan Makan Malam Amal di sini malam tadi.
Orang Besar Jajahan Kampar, Toh Sedewa Raja Datuk Abdul Talib Abd Fahmi hadir bagi menerima kutipan berbentuk wang tunai dan sekali gus merasmikan majlis yang diadakan di sebuah HOTEL di sini.
Pengerusi PERKIM Perak, Datuk Dr Abu Bakar Shaari, berkata dana yang terkumpul itu dapat membantu pembangunan yang sedang dilaksanakan cawangan berkenaan.
"Jumlah itu adalah wang wakaf tunai itu hasil kutipan terdahulu sebanyak RM83, 818 dan juga kutipan yang terbaharu sebanyak RM50,000.
"Kutipan dana itu sekali gus dapat membantu aktiviti dan program dakwah dan aktiviti membantu fakir miskin yang kerap dijalankan pertubuhan," katanya yang ditemui pada majlis berkenaan.
Yang turut hadir, Pengerusi PERKIM Cawangan Ipoh, Abd Rashid Yang.
Dalam pada itu, beliau berkata PERKIM di peringkat negeri juga sedang mengumpul dana bagi menjayakan beberapa projek pembangunan pertubuhan.
Katanya, setakat ini sebanyak 18 cawangan PERKIM yang bergerak di seluruh negeri.
Sumber: BH Online