Permohonan Reman Di Hospital Isa Samad Ditolak


PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya menolak permohonan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad menjalani perintah tahanan reman di hospital.

Peguam, Datuk K Kumaraendran ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, sebaliknya anak guamnya itu  diperintah menjalani tempoh reman di lokap ibu pejabat SPRM.

“Pada prosiding, pihak kami (pembelaan) telah mengemukakan permohonan tersebut kepada mahkamah kerana beliau adalah seorang penghidap penyakit jantung yang memerlukan rawatan,” katanya.

Justeru katanya, SPRM perlu memastikan Mohd Isa berada dalam keadaan selesa sepanjang tahanan tersebut.

Selain itu, pihaknya berharap agar SPRM tidak membuat permohonan lanjutan reman.

Beliau berkata, pihaknya juga mengemukakan bantahan jaminan atas alasan Mohd Isa tidak akan melarikan diri sehingga kes selesai.

“Beliau tidak akan mengganggu saksi- saksi atau memusnahkan dokumen selain akan hadir memberi keterangan sekiranya diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan permohonan tahanan reman SPRM terhadap Mohd Isa selama lima hari bermula semalam.

SPRM diwakili Timbalan Pengarah II Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Penahanan itu dilakukan bagi melengkapkan siasatan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London antara 2014 dan 2015. Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu tiba di mahkamah jam 9.05 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM dan polis.

Isteri Mohd Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid dan beberapa ahli keluarga serta barisan peguamnya dilihat tiba seawal jam 8 pagi.

Selain keluarga, lebih 100 penyokong hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan.

Mohd Isa ditahan pada jam 2.45 petang kelmarin sejurus hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk memberi keterangan lanjut berkaitan kes berkenaan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) selepas dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membayar £60 juta (RM330 juta) untuk sebuah hotel empat bintang, Park City Hotel, Kensington, London pada 16 Disember 2014.

Sumber: Sinar Harian