PUTRAJAYA - Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang merentasi perbezaan kaum, agama dan gender tidak pernah luntur, malah barangkali menjadi lebih penting hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata lebih 60 tahun lepas, negara ini berjuang untuk mendapatkan kemerdekaannya dan usaha itu tidak mungkin berhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama dan sokongan dari seluruh negara.
Oleh itu, kata beliau, dalam era pertumbuhan dan pembangunan ini, rakyat Malaysia tidak boleh sekali-kali lupa untuk merenung kembali apakah yang membawa negara ini ke tahap yang dikecapinya sekarang.
"Sekiranya kita ingin terus memajukan negara kita ini dengan berkesan, kita tidak boleh sekali-kali melupakan nilai yang membawa kita ke tahap ini sekarang," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Beliau berkata, pada hari ini 60 tahun lepas, Perdana Menteri Britain ketika itu, Harold Macmillan menyuarakan harapannya agar hari kemerdekaan Malaya akan dikenang rakyat untuk selama-lamanya.
"Pada pendapat saya, menyifatkan tahun 1957 sebagai masa yang menyaksikan perubahan mengagumkan adalah sesuatu yang tidak begitu tepat.
"Sebenarnya, ia memberi peluang kepada kita untuk mengemudi negara kita ini dengan bebas serta mengikut hasrat dan prinsip rakyat, sesuatu yang kita sering kali memandang ringan," kata Nancy.
Justeru, beliau menggesa semua rakyat Malaysia supaya tidak sekali-kali melupakan pelbagai kejayaan yang dicapai negara ini dengan satu suara dan satu nada.
Katanya, rakyat Malaysia bertanggungjawab meneroka peluang baharu untuk terus maju agar nenek moyang mereka berasa bangga, di samping menghadiahkan kepada generasi akan datang sebuah negara yang sejahtera serta makmur sebagai tempat tinggal mereka.- BERNAMA