Pesara Polis Cari Anak OKU Hilang


KUALA LUMPUR - Seorang pesara polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan anak lelakinya yang dipercayai hilang sejak 4 Ogos lalu selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kamarudin Ismail, 68, berkata kehilangan anaknya Mohd Aniza, 40, yang juga orang kelainan upaya (OKU) adalah kali kedua selepas 17 Julai lalu sewaktu membeli rokok di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

"Sewaktu kali pertama hilang itu, polis melaporkan dia berada di Hospital Alor Gajah dan saya ingin membawanya pulang tetapi pihak hospital tidak membenarkan dan meminta dia meneruskan rawatan di HKL.

"Oleh itu, anak saya dihantar ke HKL pada 3 Ogos lalu dan saya menunggu untuk berjumpa dengannya namun selepas menunggu begitu lama saya terpaksa pulang ke rumah dan bercadang untuk ke hospital semula esoknya.

"Namun selepas saya tiba di hospital kira-kira jam 11 pagi, anak saya sudah tiada di katilnya dan saya bertanyakan kepada jururawat yang bertugas dan dia memberitahu anak saya sudah dibenarkan pulang pada hari berkenaan," katanya ketika ditemui BH.

Kamarudin berkata, pihak hospital seharusnya menghubunginya jika anaknya sudah dibenarkan keluar.

"Saya dan ahli keluarga yang lain sudah mencari dia secara persendirian di sekitar Kuala Lumpur, Genting Sempah dan Ulu Yam namun masih belum dijumpai lagi.

"Anak kedua saya ini mempunyai masalah mental tetapi dia boleh bercakap seperti biasa dan tidak kacau orang lain.

"Kali terakhir saya berjumpa dia sebelum dimasukkan di HKL dengan memakai baju berwarna hitam dan berkolar hijau serta berseluar hitam serta satu laporan polis sudah dibuat berhubung kehilangannya," katanya.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai lelaki OKU itu boleh menghubungi bapa mangsa, Mohd. Kamarudin Ismail di talian 012-9328647 atau 012-2887461 atau adik mangsa, Abd Wahab 0134894170 dan Mohd Syawal 012-3521295.

Sumber: BH Online