Petani Kedah Tidak akan Jadi Miskin Kerana Bersawah - Suraya


ALOR SETAR - Petani Kedah tidak akan jadi miskin jika terus bersawah dan tidak benar jika ada dakwaan mengatakan petani di negeri ini tiada masa depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Datuk Suraya Yaakob.

Apa yang perlu, kata beliau ialah transformasi perlu dilakukan dengan membawa masuk elemen teknologi moden kepada petani terutama kesungguhan anak-anak muda untuk mengambil alih kerja-kerja di sawah.

" Walaupun dianggap miskin, rata-rata petani termasuk 100,000 peladang MADA tidak sanggup menyerahkan tanah sawah mereka untuk ditukar kepada sektor perindustrian, "kata Suraya ketika menggulung perbahasan pada  sidang Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Kata Suraya lagi, antara yang boleh diusahakan ialah menerusi pengurusan estet padi bagi mengubah penanaman padi secara tradisi sambil melihat Jepun yang mempertahankan pertanian walaupun maju dalam sektor perindustrian.

" Jika kerja di sawah dikatakan tidak ada masa depan, tidak mungkin ramai petani yang ingin menyewa bendang pada masa ini, ' ujar Suraya lagi bagi menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang  menyatakan Kedah tidak perlu bergantung pada sektor pertanian sepenuhnya, tetapi  memberi tumpuan kepada sektor  perkilangan.

Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah yang kini berada di pihak pembangkang melihat negeri itu tidak mungkin maju berbanding negeri lain yang memberi fokus kepada sektor perindustrian. Beliau turut membandingkan Singapura, walaupun tiada pertanian tetapi tetap ada makanan.

Menurut Suraya lagi, kerajaan tidak ada pilihan, sebaliknya akan terus memberi sokongan kepada kepada rakyat negeri ini yang bergantung hidup dengan aktiviti pertanian.

Sementara itu, kata beliau sambutan lebih 100, 000 pelawat semasa Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Kulim baru-baru ini di samping mencatat jualan hampir RM1 juta, membuktikan sektor pertanian mempunyai potensi besar, kata Suraya lagi - Kedahnews.com.