PETRONAS Kaji Bangunkan Sumber Gas Di Kanada


KUALA LUMPUR- Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), menimbang opsyen untuk membangunkan dan menjana keuntungan sumber gasnya di Kanada selepas menangguhkan pelan pembangunan projek gas asli cecair bernilai berbilion dolar di British Columbia.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Huluan PETRONAS, Datuk Mohd Anuar Taib, berkata antara kemungkinan yang dipertimbangkan ialah melabur dalam projek saluran paip bagi menghubungkan dan memasarkan sumber gas dari kawasan yang terbukti mempunyai 22.3 trilion kaki persegi (TCF) gas tidak konvensional ke seluruh Kanada dan Amerika Utara.

Sumber gas PETRONAS terletak di kawasan North Montney, dan dikendalikan oleh Progress Energy Canada Ltd. Kawasan ini menghasilkan gas sejak 2012, membekalkan pasaran Kanada yang mempunyai permintaan sebanyak 14 bilion kaki padu standard (BCF) sehari, kira-kira tujuh kali Semenanjung.

"Kami kini mengenal pasti kemungkinan bekerjasama dengan rakan kongsi atau pihak lain untuk mengkaji saluran paip yang boleh dibina bagi menyambungkan kawasan itu ke seluruh pasaran Kanada," katanya kepada BERNAMA.

Projek itu jika menjadi kenyataan, akan memberikan PETRONAS akses ke seluruh pasaran Amerika Utara yang mempunyai saiz kira-kira 84 BCF sehari, atau kira-kira 40 hingga 41 kali, daripada Semenanjung.

"Jadi, apa yang berlaku di Kanada ialah kami (PETRONAS) memiliki sumber yang terbukti besar, berada dalam pasaran antara yang terbesar di dunia, dan pasti ada cara untuk kami menjana keuntungan daripada sumber ini," katanya.

Sebagai perbandingan, beliau berkata, keluasan kawasan gas tidak konvensional Kanada PETRONAS membabitkan kawasan kira-kira dua kali saiz Melaka dengan sumber kira-kira 30-35 peratus daripada sumber gas Malaysia yang sudah terbukti.

Mohd Anuar berkata aset North Montney PETRONAS di wilayah British Columbia, kini menghasilkan 600 juta kaki padu gas standard sehari (MMSCFD) untuk pasaran tempatan.

Bagi separuh pertama tahun ini, kami telah menjana hasil kira-kira C$260-C $ 270 juta (C$1>RM3.45) daripada pengeluaran itu," katanya.

Melihat kepada potensi pulangan daripada operasi Kanada, Mohd Anuar berkata, PETRONAS merancang menambah pengeluaran, namun opsyen itu masih dalam peringkat kajian kemungkinan.

"Saya tidak fikir kita akan melakukannya tahun depan. Kami hanya mengkaji bagi memastikan kami membuat keputusan yang betul.

"Apabila anda tahu pasaran tertekan, margin juga kecil, apa pun pelaburan yang kami mahu lakukan, kami mesti dapat melakukannya berdasarkan pemikiran dan perancangan serta memastikan nilai itu tidak hilang. Jadi, itulah yang berlaku di Kanada," katanya.

Beliau berkata PETRONAS mesti berusaha untuk mengurangkan kos pengeluaran untuk terus berdaya saing dalam pasaran.

"Kunci di sana (Amerika Utara) ialah sejauh mana kami boleh kompetitif di pasaran itu. Justeru pasukan kami dalam Progress Energy Canada (anak syarikat PETRONAS 'Canada) melakukan banyak usaha penambahbaikan," kata Mohd Anuar.

Progress Energy Canada berjaya mengurangkan antara 12-15 peratus daripada kos pengeluaran dalam tempoh dua hingga tiga tahun yang lepas dan berusaha lebih keras untuk terus berdaya saing, katanya.

Pada 2012, PETRONAS memperoleh 50 peratus kepentingan dalam aset syal Montney daripada Progress Energy Canada untuk C$1.07 bilion, yang memberikannya ruang pembangunan gas tidak konvensional Kanada.

Ia kemudian menguasai semua kepentingan dalam Progress Energy Canada melibatkan kira-kira C$6 bilion, diikuti oleh pembelian aset North Montney Talisman Energy sebanyak C$1.5 bilion, menjadikannya salah satu pemilik rizab gas asli terbesar di Kanada dengan kira-kira 323,748 hektar hak mineral berterusan serta lebih 52 rizab TCF dan dan sumber luar jangka.

Bulan lalu, PETRONAS mengumumkan keputusannya untuk tidak meneruskan projek LNG Pacific Northwest bernilai C$36 bilion, yang sepatutnya menghasilkan 12 megatonnes LNG setahun, berikutan pasaran LNG yang berterusan lemah yang diunjurkan berlarutan sehingga 2023. - BERNAMA