Polis Beri Kaunseling Mangsa Liwat


POLIS akan memberi kaunseling kepada pelajar sebuah sekolah di Ipoh yang dipercayai menjadi mangsa cabul dan liwat ahli fisioterapi bola sepak sekolah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, kes berkenaan sudah ditutup selepas suspek ditemui mati tergantung dalam sebuah bilik hotel di Ipoh, dipercayai membunuh diri.

Katanya, pihaknya kini akan membantu semua pelajar terbabit dengan memberi kaunseling melalui unit kaunseling polis di Bukit Aman.

“Ada pelajar lain tampil membuat aduan selepas tiga pelajar membuat laporan sebelum ini, namun saya tidak boleh memberitahu jumlah pelajar berkenaan kerana kes sudah ditutup.

“Apa yang polis boleh lakukan ialah membantu masa depan mereka dengan mengembalikan keyakinan diri,” katanya yang ditemui selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua JSJ (Risikan dan Operasi) di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Pada 25 Julai lalu, lelaki berusia 52 tahun yang juga suspek kes berkenaan, ditemui mati dipercayai menggantung diri dalam bilik sebuah hotel di Ipoh.

Suspek dipercayai bertindak demikian selepas tiga pelajar sekolah berkenaan berusia antara 14 dan 15 tahun, membuat laporan polis pada 24 Julai lalu, mendakwa mereka diliwat dan dicabul lelaki berkenaan.

Sumber: MyMetro