Polis Buru Individu Cederakan Penyokong Indonesia


SHAH ALAM - Polis sedang giat mengesan beberapa individu yang dikatakan memukul seorang penyokong pasukan bola sepak Indonesia selepas tamat perlawanan bola sepak Malaysia menentang pasukan Indonesia di  Stadium Malawati, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, satu rusuhan berlaku malam tadi di pekarangan Stesen Bas Persiaran Sukan pada jam 3.54 pagi.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul oleh beberapa orang lelaki, dipercayai penyokong pasukan Malaysia.

"Siasatan lanjut mendapati, mangsa yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan pada tangan akibat ditumbuk oleh suspek.

"Mangsa merupakan kumpulan kecil yang menunggu bas untuk balik ke rumah didatangi kumpulan penyokong Malaysia membuat kecoh dan semasa melarikan diri, dipukul oleh penyokong Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, justeru, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sentuhan penyerang negara, N Thanabalan pada penghujung masa perlawanan‎ melayakkan skuad bola sepak Malaysia ke pentas akhir selepas menewaskan Indonesia 1-0.

Ia sekali gus meletakkan skuad muda Malaysia itu menjadi pencabar Thailand yang lebih awal mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan Myanmar 1-0.

Sumber: Sinar Harian