Polis Buru Penyeludup Ketum Lari Tinggal 500kg Daun Ketum Dalam Toyota Alphard


GERIK – Polis memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas tembelangnya cuba menyeludup 500 kilogram daun ketum bernilai RM20,000 terbongkar apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipandunya terbabas ketika dikejar Jumaat lalu.

Lebih tragis, kejadian pada pukul 6.15 pagi di Kilometer 41, Jalan Gerik-Jeli di sini Sabtu lalu itu membuatkan lelaki berkenaan tergamak meninggalkan teman wanita bersama anak perempuannya di lokasi kemalangan semata-mata mahu mengelak daripada ditangkap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku ketika suspek dalam perjalanan ke Tumpat, Kelantan selepas mengambil bekalan daun ketum di Sik, Kedah.

Katanya, di pertengahan jalan, peronda polis yang terserempak dengan MPV suspek telah mengarahkannya berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek bagaimanapun memecut ke arah Jeli sebelum ditemui terbabas di tepi jalan dan MPV itu mengalami kerosakan pada bahagian tayar belakang.

“Polis yang membuat pemeriksaan kemudian menemui seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berumur 16 tahun cuba keluar dari MPV tersebut. Lelaki itu bagaimanapun telah lesap,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sumber: Kosmo