SHAH ALAM - Polis Selangor akan mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi acara bola sepak dalam Sukan SEA 2017 yang akan bermula pada 14 Ogos ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada beberapa perlawanan yang dijangka sengit dan menjadi perhatian ramai.
Menurutnya, seramai 3,000 pegawai dan anggota polis negeri yang akan bertugas telah melakukan persiapan rapi dalam menghadapi kemungkinan terdapat sebarang krisis atau ancaman sepanjang temasya Sukan SEA 2017.
“Jika kita tengok dalam acara-acara sukan seperti hoki atau ragbi, jarang kita dengar ada budaya hooligan.
“Bagaimanapun dalam sukan bola sepak kita akan beri perhatian lebih terutamanya pada perlawanan yang dijangka sengit dan sensitif antaranya membabitkan negara yang mana rakyatnya ramai di sini seperti Indonesia dan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Stadium Shah Alam yang menjadi satu daripada stadium yang dipilih untuk acara bola sepak Sukan SEA 2017.
Sukan SEA 2017 dijadualkan bermula pada 14 hingga 30 Ogos ini dengan perasmian temasya dwi tahunan itu akan diadakan pada 19 Ogos ini.
Zulkifli dalam pada itu memberitahu, balai polis bergerak turut akan ditempatkan di 12 lokasi di negeri ini yang telah dipilih menjadi tempat berlangsungnya acara Sukan SEA 2017 selain pemeriksaan ketat di kawasan penempatan atlet.
Katanya, ia sebagai langkah keselamatan dan memudahkan pengunjung atau peserta membuat sebarang laporan serta mendapatkan khidmat bantuan.
“Kita juga nasihatkan penyokong supaya datang awal kerana mereka perlu menjalani pemeriksaan pengimbas bagi menentukan mereka tidak membawa sebarang senjata serta pemeriksaan badan.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan persiapan rapi yang telah dijalankan dan kita akan pastikan Sukan SEA 2017 berjalan dengan lancar dan tiada sebarang anasir-anasir yang tidak diingini menjejaskan perjalanan temasya sukan ini,” ujarnya.
Sumber: Utusan Online