SEREMBAN – Seramai 19 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Koop di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kesemua wanita berusia 24 hingga 47 tahun itu ditahan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 untuk tindakan lanjut. Salah seorang daripada mereka didapati positif ujian saringan air kencing.
“Turut ditahan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis berusia 32 dan 33 tahun. Mereka direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, dalam serbuan itu turut dirampas buku resit, buku catatan operasi premis, alat kawalan jauh dan wang tunai bernilai RM720.
Sementara itu katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dalam usaha pihak berkuasa membanteras kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dilakukan di negeri ini.
Sumber: Sinar Harian