SELAMA - Kegiatan licik seorang penternak ikan dan udang mengedar dadah syabu dan heroin di Sungai Bayor di sini sejak empat bulan lalu terbongkar selepas polis menahannya dalam serbuan di rumahnya di Kampung Belukar Hantu di sini Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Selama itu, suspek lelaki berusia 48 tahun tersebut ditahan di rumahnya selepas melakukan risikan terhadap aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek polis menjumpai satu peket dadah jenis syabu seberat 55 gram bernilai RM6,000 dan sebutir bom tangan jenis M35 yang diletakkan di dalam beg sandang miliknya.
"Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan empat peket dadah jenis heroin dengan jumlah berat 200 gram bernilai RM16,000 di sebuah pondok berhampiran kolam ternakan ikan dan udangnya yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya," katanya pada sidang akhbar di IPD Selama di sini semalam.
Tambah Lian Lay, pihaknya turut merampas dua laras senapang patah buatan sendiri bersama 37 butir peluru penabur dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dua buah motosikal berkuasa tinggi.
Sumber: Kosmo
