KUALA LUMPUR - Polis akan menubuhkan unit siasatan lebuh raya dengan menempatkan anggota dan pegawai trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bermula Januari depan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, pasukan tersebut akan menjalankan siasatan kes-kes kemalangan kecil di lebuh raya yang tidak melibatkan kematian.
"Buat masa ni memang telah ada team siasatan dari Tol Sungai Besi ke Tol Senawang dalam bentuk trial basis selama kira-kira tiga bulan, bermula Jun lalu.
"Setakat ni maklum balas yang kita dapat daripada orang ramai cukup positif kerana memudahkan mereka yang terlibat, jadi kita merancang untuk luaskan di PLUS pula," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kenderaan Rondaan oleh LPT2 Sdn Bhd kepada PDRM di sini, Selasa.
Katanya, menerusi penubuhan itu pengguna jalan raya yang terlibat dengan kemalangan jalan raya kecil tidak lagi perlu membuat laporan di balai polis berdekatan sebaliknya diselesaikan di lokasi kejadian atau Rumah Rehat dan Rawat berhampiran.
"Kita masih lagi merangka rancangan ini dan sudah tentu memerlukan sedikit masa kerana akan melibatkan kekuatan sumber manusia, logistik dan keperluan prasarana yang agak banyak," katanya.
Diminta mengulas mengenai jangkaan pertambahan kenderaan sempena cuti Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha ini, Sharul Othman berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk menjalankan penguatkuasaan di semua jalan raya berkaitan bagi melancarkan aliran trafik.
"Walaupun kami sekarang sibuk dengan penugasan Sukan SEA, penguatkuasaan terutama terhadap penyalahgunaan lorong kecemasan yang menjadi antara punca utama kesesakan tetap akan dijalankan, " katanya. - Bernama