PPM Wilayah 5 Sarawak Rampas 30 Batang Kayu Balak


BINTULU - Sebanyak 30 batang kayu balak pelbagai saiz berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 dalam Op Landai di Jalan Samarakab di sini pagi semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, operasi pukul 10.45 pagi itu dijalankan lima pegawai dan anggota Unit Rondaan Marin (URM) dalam usaha membanteras kegiatan pembalakan haram.

"Pasukan URM menemui 30 batang kayu balak pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM6,500 yang sudah ditebang dan dipotong.

"Hasil pemeriksaan la jut mendapati, kesemua kayu itu tidak mempunyai sebarang cop sah daripada Jabatan Hutan Sarawak," katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya percaya, kesemua kayu balak itu diperoleh secara haram.

Katanya, tiada sebarang penahanan suspek dibuat berikutan pekerja-pekerja tidak kelihatan semasa operasi.

"Laporan polis dibuat dan kes diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Daerah Bintulu bagi siasatan lanjut," jelasnya.

Sumber: Kosmo