KUALA LUMPUR - Pelakon Aliff Aziz menyerahkan kepada peminat untuk menilai sendiri situasi sebenar yang berlaku antaranya dan Afifah Nasir selepas kenyataan dibuat oleh Pengarah Drama Izinkan Aku Mencintaimu.
Aliff, 26, berkata, dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana segalanya telah terjawab.
"Saya rasa rakyat Malaysia sudah penat dengan isu ini. Saya sudah memberi kenyataan daripada pihak saya sendiri.
"Menerusi kenyataan pengarah, semua orang boleh menilai. Pada saya, di situ sudah ada jawapannya," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Izinkan Ku Mencintaimu hari ini.
Terdahulu, pihak produksi menjelaskan bahawa mereka tidak pernah menyuruh Afifah untuk melayan atau mengambil "mood" Aliff sehingga berlarutan ke pusat karaoke.
Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran sekumpulan pengawal peribadi, Aliff menjelaskan mereka hadir bagi menjaga keselamatan dan mengelak fitnah di lokasi.
"Apabila kekasih Afifah, Wan Ariff mahu mengupah pengawal peribadi, saya juga berbuat demikian. Sejujurnya, saya tidak takut," katanya.
Sumber: Kosmo