KUALA LUMPUR - Peluang pekerjaan semakin sukar dicari kerana titik permulaan bagi seseorang pencari kerja telah berubah jika dibandingkan dengan generasi sebelum ini.
Dalam konteks ekonomi global secara amnya dan hutang pendidikan yang meningkat secara khususnya, tidak dinafikan memang payah bagi mereka yang baharu ingin memasuki alam pekerjaan untuk mendapat ruang sesuai bagi membina kerjaya.
Memandangkan pekerjaan semakin sukar dicari di Malaysia, pelbagai langkah diambil pihak kerajaan agar dapat memudahkan proses mencari kerja bagi graduan dan juga pencari kerja lain.
Antaranya, pengenalan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) kepada umum. Program ini direka bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran (employability) atau keupayaan graduan mendapat pekerjaan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang melaksanakan program SL1M sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam pada itu, 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program temu duga terbuka SL1M peringkat zon Selatan yang akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada 26 dan 27 Ogos.
Bagi Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, pembinaan masyarakat bekerjaya merupakan elemen penting dalam pembangunan sesebuah negara.
"Kita mahu semua rakyat Malaysia menjadi modal insan dan menyumbang kepada pembangunan negara," ujarnya penuh semangat.
Temuduga terbuka sebegini sudah pun diadakan di Kuala Lumpur, Pahang, Kedah, Sabah, dan Sarawak.
Setakat 31 April tahun ini, 120,000 peserta telah dibantu melalui penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung Program SL1M.
Antara contoh cerita kejayaan hasil SL1M termasuk Loi Tick Hong, seorang anak penoreh getah yang sudah bekerja bersama bank CIMB selama 6 tahun.
Sumber: Astro Awani