Puisi 'Menyusuri Sungai Merdeka' Di Pulau Pinang


GEORGETOWN - Kira-kira 2,000 pengunjung berbilang bangsa, termasuk pelancong memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 peringkat negeri yang berlangsung di Lebuh Light di sini, hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dengan diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Sambutan bertemakan 'Negaraku Sehati Sejiwa' itu dimulakan dengan perarakan pembawa Jalur Gemilang oleh Batalion Ke-2 Tentera Rejimen 509 Askar Wataniah dan Pancaragam Tentera 3 Armor Diraja.

Kemeriahan sambutan berkenaan turut diserikan dengan perarakan 88 kontijen daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuk pelajar, membabitkan kira-kira 5,800 peserta.

Antara pertunjukan pada acara itu termasuklah persembahan Tempur Tanpa Senjata oleh pasukan tentera, deklamasi puisi bertajuk 'Menyusuri Sungai Merdeka', nyanyian lagu patriotik dan tarian kebudayaan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang; Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta barisan EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri pimpinan DAP.

Sumber: BH Online