GERIK - Seekor gajah jantan mati dilanggar sebuah bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini, awal pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu berlaku berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup sementara.
Setakat ini, belum dapat dipastikan keadaan penumpang dalam bas tersebut yang mengalami kerosakan di bahagian cermin akibat perlanggaran itu.
Pengguna yang melalui jalan tersebut dinasihatkan supaya berhati-hati dan peka dengan kehadiran haiwan liar di kawasan terbabit.
Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Perak, Loo Kean Seong yang mengesahkan kejadian itu berkata, gajah jantan itu dianggarkan berumur 10 tahun.
Menurut beliau, bangkai gajah itu telah dipindahkan ke tempat yang sesuai untuk urusan bedah siasat dan memotong gadingnya sebelum ditanam hari ini juga.
Sumber: Astro Awani