Rahsia Datuk Vida Bina Empayar Perniagaan


KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Vida, memiliki ketokohan dan sisi berbeza dalam bidang keusahawanan berikutan kebijaksanaannya menyusun strategi pemasaran serta penjenamaan melangkaui masa depan.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu tidak kering idea mencipta identiti dan imej tersendiri untuk memacu dirinya sebagai ahli perniagaan berjaya dalam bidang kecantikan selepas merentasi pelbagai cabaran serta kepahitan.

Bekas guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah Cina itu menggunakan pelbagai strategi berbeza, terbaru klip video lagu I Am Me nyanyiannya yang ditonton lebih 3.2 juta di seluruh dunia, bagi mengukuhkan namanya sebagai usahawan kosmetik paling popular.

Beliau selayaknya digelar ikon bidang perniagaan kosmetik. Mempunyai pakej lengkap, personaliti dan ketokohannya yang tidak pernah putus asa, sentiasa tampil unik, pemikir, yakin, idealis dan berani menjadi resipi kejayaan seharusnya dijadikan inspirasi pada wanita lain.

Vida berkata, beliau tidak pernah berhenti berfikir, sentiasa menampilkan konsep dan idea baharu untuk membina jenama besar yang memberi impak serta dicontohi masyarakat.

"Popular juga penting untuk mengembangkan dan meluaskan empayar perniagaan dan untuk saham akhirat kerana dapat membuat kerja kebajikan.

"Kita perlu berani mengambil risiko, tidak malu dan usaha keras untuk meraih populariti menjadi 'senjata' untuk bertarung dalam menerajui landskap perniagaan kosmetik," katanya kepada BH.

Strategi perniagaan

Ikon Usahawan Wanita 2015 ini mengakui pelanggan produk kecantikannya juga antara tunggak utama kejayaan jenamanya, selain modul dan strategi perniagaan yang berkesan sehingga mampu memaut perhatian jutaan masyarakat dari seluruh dunia.

Keupayaan menarik perhatian umum memudahkan beliau menjual apa saja produk sama ada secara fizikal atau di laman sosial yang diikuti lebih 1.4 juta pengikut.

"Sejak kecil hingga sekarang saya diduga dengan pelbagai cabaran. Ayah, Othman Abdullah, meninggal dunia ketika saya berusia sembilan tahun dan kami sekeluarga hilang tempat bergantung.

"Hidup kami susah selepas kematian ayah. Saya mula berniaga sejak kecil. Apa saja yang boleh jana pendapatan, saya akan buat. Saya pernah jual nasi lemak orang dengan untung kecil, jual telekung, kain batik, baju dan macam-macam barangan Kelantan, selain bekerja kilang pada cuti semester.

"Paling tidak dilupakan ibu terpaksa menjual sebidang tanah untuk menampung kos perbelanjaan saya di Universiti Sains Malaysia," katanya.

Wanita kental

Ketika memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau juga berhadapan banyak cabaran termasuk pernah kerugian beratus ribu ringgit sebelum bangkit dengan menukar strategi perniagaan.

Kini produk Vida Beauty Cosmetics, DSV Gold and Jewelry, Millenia Qu Puteh, Pamoga Vida Beauty, Qu Puteh Beauty dan DSV Sorga Tudung, sudah kukuh.

Sebelum mencipta kekayaan dan fenomena banyak titisan air mata yang tumpah termasuk diduga menerima kehilangan dua anak lelaki, Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie, yang meninggal dunia kerana terperangkap dalam kebakaran di rumah pada 5 Ogos 2013.

Masyarakat juga tidak henti bercakap mengenainya sama ada kisah peribadi seperti tiga kali bercerai selain dikritik, dikeji, gila glamor dan pelbagai lagi, beliau terus positif serta berjiwa kental.

"Saya bersyukur kerana tetap menjadi diri saya dan melalui semua dugaan dengan tabah. Tuhan pula sentiasa kurniakan apa yang saya mahu dan jadikan ia satu kejayaan," katanya.

Kini, beliau mahu fokus merealisasikan banyak lagi agenda dalam perniagaan, membuat amal kebajikan dan melatih dua lagi anaknya, Nur Edlynn Zamilleen, 12, dan Eric Zacquan, 8, untuk meneraju empayar perniagaan pada masa depan.

Walaupun mempunyai pembantu peribadi, beliau masih bekerja keras melakukan ceramah kecantikan, menyelia aliran stok, bertemu stokis, mendengar masalah mereka, mengawal penyata kewangan, menghadiri mesyuarat dan menyelia operasi syarikat.

Sumber: BH Online