TINDAKAN Laskar Merah Putih untuk "melancarkan perang" berikutan kesilapan isu bendera Indonesia terbalik pada buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak perlu diberi perhatian lagi selepas pihak Malaysia sudah mohon maaf secara rasmi.
Malah, Presiden Indonesia, Joko Widodo pun tidak mahu perkara itu dipanjangkan lagi.
Penasihat Markas Besar Laskar Merah Putih, Datuk Dr Fauzi Mohamad berkata, demontrasi ini perlu dihentikan demi kebaikan kedua-dua negara.
Kesemua ahli Laskar Merah Putih seluruh Indonesia digesa untuk tidak mengulangi demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta susulan isu bendera Indonesia terbalik itu kerana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah memohon maaf atas kesilapan itu dan dalam masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah berjanji akan menyiasat perkara tersebut.
“Saya meminta kepada semua Laskar Merah Putih seluruh Indonesia untuk tidak mengulangi demonstrasi di Kedutaan Malaysia ,” katanya yang juga Penasihat Pertubuhan Al Qalam Malaysia dan Indonesia.
Selasa lalu, Fauzi telah bertemu dengan Ketua Umum Laskar Merah Putih, Adek Erfil Manurung bagi memohon maaf bagi Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia kepada seluruh rakyat Indonesia mengenai isu bendera terbalik.
Tunjuk perasaan yang aman dan bertukar ganas dan pelbagai rpovokasi terhadap Malaysia sudah banyak kali berlaku apabila timbul isu melibatkan kedua buah negara jiran ini.
Rakyat Malaysia termasuk NGO negara jarang sekali membalas demontrasi itu di depan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur berbanding tunjuk perasaan yang kadang-kala bertukar ganas di depan Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Dalam hal ini rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia bertindak secara profesional dan rasional iaitu menghantar surat bantahan rasmi kepada kedutaan Indonesia jika ada isu yang 'menyakit hati' rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia sedar, warga Indonesia adalah bangsa serumpun dan mempunyai pertalian darah terutama dengan penduduk di Sumatera malah penduduk Pulau Jawa dan Sulawesi. Kedua negara saling memerlukan apatah lagi Malaysia dan Indonesia memiliki umat Islam teramai di rantau ini Asia.
Barat dan negara lain melihat Malaysia dan Indonesia berpontensi menguasai ekonomi di rantau ini pada masa depan. Jarang negara Islam membangun maju kecuali bersengketa sesama sendiri dan berperang. Lihat sahaja di Afghanistan dan Asia Barat.
Justeru itu, tiada faedah kedua negara (Malaysia dan Indonesia ) untuk 'berperang' atas isu yang boleh diselesaikan menerusi jalur diplomatik seperti pertikaian sempadan, tenaga kerja, kebudayaan, perniagaan dan soal berkaitan politik.
Seorang yang bernama Khidhir Haji Kamaruddin dalam tulisannya yang dimuat naik dalam Facebook semalam menarik untuk dibaca. Antara lain katanya: " Malaysia sudah punya raja pecut Asia yang umurnya baharu 18 tahun, Timnas (Pasukan atau Tim Nasional) kita dibantainya Malaysia 5-0, rugbi dikalahlan Malaysia 75-0, bolasepak sudah hampir tersingkir (Nota: Malaysia kecewakan Indonesia 1-0 di peringkat separuh akhir Sabtu malam ).
" Kita pula terlalu sibuk mau perang..., mau perang? Ternyata fikiran bangsa Indonesia masih mundur. Apakah kita mahu menjadi seperti bangsa Korut (Korea Utara)? Yang mana semangat nasionalismenya tidak kena pada tempat. Adakah kita rasa bangsa Indonesia hebat? Tidak, wahai bangsa Indonesia. Tidak. Belajarlah dari Singapura, belajarlah dari Malaysia.
Kebajikan rakyat pun Pemerintah tak mampu beri pada kita. Kita akan jadi bangsa yang hebat jika tiada lagi TKI (tenaga kerja Indonesia) yang kerja mencari sesuap nasi di Malaysia. Tiada lagi yang jadi buruh kasar di sana. Ingat, tiga juta rakyat kita di Malaysia sedang mencari nafkah. Ada beberapa juta lagi di negara-negara Arab dan negara lainnya. Pemerintah kita tidak mampu sediakan pekerjaaan untuk bangsanya sendiri.
Lagi mau bicara soal perang? Ingat, perang bukan cerminan kekuasaan sesebuah bangsa...
Laungan 'Ganyang Malaysia' tidak sepatutnya terbit dari mulut rakyat Indonesia lagi, begitu juga rakyat Malaysia jangan 'perlekehkan' mereka kerana ada bidang di negara seberang itu mengatasi kita.
Konfrontasi Malaysia - Indonesia kira-kira 52 tahun lampau (963-1965) yang mengorbankan jiwa perajurit dua negara seharusnya menjadi pengajaran berharga kepada rakyat di Nusantara ini. - Kedahnews.com