Rakyat Perlu Bersatu Walaupun Punya Adat Resam Berbeza


SEREMBAN - Rakyat Malaysia perlu sentiasa bersatu padu walaupun mereka mengamalkan adat resam dan agama yang berbeza.

Menegaskan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri Datuk Ismail Lasim berkata: "Dalam tempoh 60 tahun negara merdeka, kita telah pun dapat mengamalkan perpaduan di tahap yang maksimum dan ini sesuatu yang amat membanggakan.

"Bukan sahaja masyarakat yang ada di Semenanjung tetapi juga mereka di Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan 2017 Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan di sini, pada Ahad.

Ismail berkata soal perpaduan masyarakat adalah cukup penting dan perlu sentiasa diutamakan.

Di majlis tersebut Ismail turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pemuafakatan Rukun Tertangga negeri. - BERNAMA