KEGAGALAN peminat untuk melihat kemunculan Sharifah Amani dalam sesebuah karya disebabkan tindakan dia yang hanya memilih skrip bagi watak mencabar sahaja.
Amani atau Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 31, berkata disebabkan itu peminat jarang dapat menonton lakonannya sama ada untuk drama atau filem tempatan.
Menerusi laman Instagram akaun bernama Alongfina memuat naik foto perbualan Amani dengan salah seorang pengikut di Twitter yang meluahkan rasa rindu untuk melihat lakonannya selain bertanyakan kenapa dia sudah lama tidak berlakon.
Namun pemenang pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia 2006 membalas semula tweet tersebut dengan menyatakan dia tidak pernah berhenti berlakon.
Menurut Amani, kemungkinan persoalan tersebut timbul disebabkan dia lebih selektif dalam memilih watak untuk memberikan yang terbaik buat peminatnya.
"Saya masih berlakon. Saya tak pernah berhenti. Saya hanya pilih apa yang saya mahu kerana ia adalah tanggungjawab saya untuk beri yang terbaik untuk anda," kata Amani.
Tambah Amani lagi, semakin sukar untuk mendapatkan watak dan jalan cerita yang baik namun pada zaman sekarang ini orang lebih mementingkan jumlah pengikut yang banyak di laman sosial.
"Saya cuba yang terbaik untuk memilih dan melakukan kerja yang bagus tapi makin lama makin susah nak dapat jalan cerita dan watak yang baik. Kita perlukan penulis yang lebih bagus.
"Tambahan pula, zaman sekarang ini apa yang penting adalah mempunyai jumlah pengikut yang besar. Saya tak kisah tentang populariti. Saya hanya mahu menyampaikan cerita yang jujur. Insya-Allah," ujarnya.
Satu-satunya drama lakonan Amani pada tahun ini iailah Selamat Tinggal Aidilfitri yang disiarkan 23 Jun lalu manakala filem lakonannya iaitu Pekak pada 2016.
Selain Amani, Amar Asyraf dalam mStar Online pada Khamis turut meluahkan rasa bosan dengan industri seni kerana menghidangkan jalan cerita sebuah drama yang klise dan tidak mencabar.
Sumber: Mstar Online