BEKAS Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Lin See Yan berkata, beliau telah dipanggil oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang tentang kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga mata wang asing sekitar 1990-an.
Menurut See Yan, beliau berbuat demikian selepas berbincang dengan bekas Gabenor BNM, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein.
“Saya tidak ingat tarikh sebenar saya berbincang dengan Menteri Kewangan.
“Anwar sangat kecewa dengan kerugian yang berlaku dan bersetuju dengan pandangan saya bahawa segala kelompangan yang ada perlu ditutup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding pendengaran di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman Putrajaya semalam.
Sementara itu See Yan turut mendedahkan, semua urus niaga mata wang asing negara di antara tahun 1990 dan 1994, dikawal secara terus oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Katanya individu yang bertanggungjawab untuk urus niaga mata wang asing adalah Pengurus / Penasihat Jabatan Bank BNM yang melapor terus kepada Gabenor.
See Yan menjelaskan pada tahun 1990 hingga 1994, Pengurus / Penasihat Jabatan Bank BNM adalah Nor Mohamed serta Gabenor adalah Tan Sri Jaafar Hussein sehingga beliau bersara pada April 1994.
"Datuk Murad Khalid dilantik sebagai Pengurus Jabatan Bank pada Februari 1992, namun semua urus niaga mata wang asing dikawal oleh Nor Mohamed, yang juga bertindak sebagai ketua pedagang (Chief Dealer).
"Ketika dimaklumkan mengenai kerugian urus niaga mata wang asing, Gabenor terkejut, namun, mengesahkan kerugian yang dialami BNM," katanya.
Sumber: BH /Utusan
“
