JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan kewujudan sindiket yang memalsukan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket itu membabitkan warga tempatan dan luar negara.
Katanya, sehingga kini pihaknya sudah mengesan lebih 50 kes membabitkan PATI yang memiliki E-Kad palsu.
"Kita mengesan pemalsuan E-Kad ini menerusi operasi yang dijalankan selepas tempoh permohonan kad berkenaan tamat pada hujung Jun lalu.
"Siasatan awal kita dapati bayaran yang dikenakan antara RM1,000 hingga RM4,000. Sindiket itu didalangi warga tempatan dan luar negara seperti Bangladesh dan Myanmar.
"Setakat ini ada yang sudah dibawa ke mahkamah dan masih banyak yang perlu penelitian," katanya dalam sidang media selepas Majlis Interaksi dan Amanat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia di Depot Imigresen Tanah Merah, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 200 pegawai dan anggota JIM Kelantan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.
Hadir sama, Pengarah Imigresen Kelantan Saupee Wan Yusoff dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Malaysia Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof.
Sumber: MyMetro