KUALA LUMPUR - Rokok, pisau dan mercun serta makanan ringan seperti kuaci dan kekacang dilarang dibawa masuk ke dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), 19 Ogos ini.
Penonton turut diingatkan supaya tidak membawa masuk barang larangan lain seperti bahan bunyi (air horn), gunting, payung, topi keledar serta tin dan botol minuman, kata Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) KL2017 dalam kenyataan pada Isnin.
“Pihak Perbadanan Stadium Malaysia berhak merampas segala barang larangan yang cuba dibawa masuk ke dalam stadium,” katanya.
Masoc berkata penonton yang membawa barang larangan berkenaan berhak dinafikan kebenaran masuk ke dalam stadium jika perlu.
“Pihak stadium akan mengadakan pemeriksaan keselamatan menyeluruh di pintu masuk stadium ke atas penonton yang hadir untuk menyaksikan upacara pembukaan itu,” menurut kenyataan berkenaan yang meminta orang ramai hadir awal ke stadium untuk mengelak kesesakan.
Penonton turut diingatkan untuk mengekalkan keharmonian dan mengelak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan serangan, keganasan atau ancaman kepada pihak lain. - Bernama