‘Roti Canai Tembok’, Juadah Malaysia Di Al Basitiyah Mula Diserbu


MEKAH  – Setiap musim haji Kafe Al Basitiyah pasti akan menjadi pilihan jemaah haji yang menginap di maktab 74 dan 75 di Hotel Abraj Al Janadriyah, di sini.

Macam-macam ada dijual di situ, dari nasi lemak, roti canai, kuih-muih sehinggalah kepada nasi kerabu dan sebagainya, pasti menyelerakan.

Minuman pula, dari teh tarik sehinggalah kepada pelbagai minuman panas dan sejuk ada dijual di situ.

Pendek kata, bawa sahaja duit, anda boleh beli apa yang diinginkan. Inilah tempat jemaah haji membeli makanan terutamanya selepas mereka selesai mengerjakan solat subuh di Masjidilharam.

Bagi jemaah, soal makan tidak menjadi isu di sini kerana jika hendak menikmati roti canai gaya orang Arab atau India pun ada dijual di lorong kecil sebelah hotel ini.

Duduk sahaja di tepi tembok itu, maka jemaah haji akan menikmati makanan panas de­ngan teh uncang. Orang kata, itulah tempat ‘roti canai tembok’. Sedap dan cukup santai.

Selain itu, jemaah haji juga boleh berhenti di mana-mana kedai makan dalam perjalanan balik ke maktab penginapan masing-masing. Dari kebab, roti telur, nasi ayam, kambing dan daging, semuanya ada.

Hendak air panas, air sejuk atau jus buah-buahan, minta dan bayar sahaja, maka penjual di situ dengan senyumnya akan me­ngatakan, ‘Malaysia Bagus’ dan memberi makanan yang dipesan.

Kepada jemaah haji yang berada di maktab penginapan yang lain, tentulah mempunyai suasana berbeza dan sesekali, ‘lawatlah’ gerai di kiri dan kanan, tentu anda akan bertemu kedai jubah, aksesori, pasar mini dan kasut.

Jadi jemaah haji mempunyai banyak pilihan untuk menikmati makanan dan membeli barangan keperluan yang terdapat di sini, apatah lagi di Kafe Al Basitiyah di hotel ini.

Oleh kerana tenaga di perlukan di sini, maka makanlah secukupnya. Tidak kenal maka tidak cinta. Mana tahu, masakan Arab atau juadah Malaysia di Tanah Suci ini akan menjadi antara kenangan yang tidak boleh dilupakan. 

Sumber: Utusan Online