RUU Kahwin Cerai Tidak Libatkan Pasangan Islam - Jamil Khir


TASEK GELUGOR - Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis lepas tidak melibatkan pasangan suami isteri beragama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya undang-undang itu hanya terpakai untuk pembubaran perkahwinan bagi pasangan bukan Islam yang dahulunya perkahwinan mereka didaftarkan di Mahkamah Sivil dan kemudiannya seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

"Selama ini kita melihat apabila berlakunya kemasukan seseorang kepada Islam, jalan pembubaran (perkahwinan) itu tidak berlaku dan keadaan apabila pembubaran ini tidak dapat dilakukan ia akan menyakitkan semua pihak.

"Kadang-kadang kefahaman yang lain pula melihat bahawa kesalahan itu diletakkan pada Islam sedangkan satu pihak tidak dapat pergi ke mahkamah sivil untuk melakukan pembubaran perkahwinan asal dan satu pihak lagi tidak dapat datang ke mahkamah syariah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Tasek Gelugor, di sini semalam.

Beliau berkata justeru, pindaan dibuat bagi menambah baik kelompangan tersebut selepas pandangan semua pihak diteliti dan diambil kira.

Rang undang-undang itu bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau seorang daripada pasangan itu yang masih dalam agama asal untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Ini bagi mengelakkan tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

"Selagi status (perkahwinan) ini tidak diubah dan dipinda ia akan menyebabkan perkahwinan tadi masih kekal sah walaupun hidup dalam suasana terpisah," katanya. - BERNAMA