Sanggup Abai Kesihatan Demi Keseronokan


BARU-baru ini saya bertemu dengan seorang rakan karib yang sudah lama saya tidak jumpa. Marah betul rakan yang saya panggil Keme. Wajahnya sesekali bertukar merah padam.

Keme bukan marah saya tetapi rakan kami yang suka sangat mengambil minuman bergula tinggi, dengan perkataan lain, minuman manis termasuk minuman bergas.

Kata Keme kepada saya sudah berbuih mulut menasihati kawan kami, Syiq yang berusia awal 30an supaya mengurangkan tabiat buruknya itu.

Bila penulis tanya mana Syiq, Keme dengan menarik muka masam berkata "Mana lagi. Pergi beli minuman kesukaan dia. Teh tiga layer. Setiap hari mesti nak teh tiga layer atau air bandung. Cubalah kau pula nasihatkan dia."

Mendengar rungutan Keme, penulis hanya mendiamkan diri sambil membayangkan minuman teh tiga lapis itu. Minuman ini terasa seperti cendol. Ia dipanggil sedemikian rupa kerana lazimnya di dalam gelas akan dituang dulu air gula Melaka atau gula merah sebagai lapisan pertama, diikuti susu sebagai lapisan kedua dan akhir sekali teh.

Penulis yang turut bimbang dengan sikap Syiq mengambil beberapa pendekatan termasuk memuat naik beberapa gambar ngeri akibat pengambilan gula berlebihan serta jumlah kandungan gula dalam sesuatu minuman manis daripada sebuah laman media sosial.

Namun usaha ini belum mendatangkan hasil. Syiq seperti tidak kisah langsung dengan nasihat serta bebelan kami. Kami turut menasihatinya supaya mengamalkan pengambilan sayur-sayuran tetapi respons yang diberikan ada ketikanya agak menjengkelkan.

Biarpun demikian, penulis yakin bukan sahaja Syiq tetapi majoriti rakyat negara ini boleh dikatakan masih lagi bersikap acuh tidak acuh dalam perihal kesihatan mereka.

Bagi golongan ini, persepsi diri masih muda, boleh makan apa sahaja termasuklah lebih mementingkan soal 'kesedapan’ berbanding amalan makanan berkhasiat sebenarnya agak menakutkan.

Sikap berkenaan sudah pasti memudaratkan kesejahteraan kehidupan seseorang individu buat jangka masa panjang.

Inilah realitinya dan untuk menyatakan mereka kurang kesedaran, bagi penulis ia mungkin tidak boleh diterima logik akal.

Ini kerana kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan mahupun pelbagai gerakan NGO sudah banyak kali melaksanakan kempen untuk menyedarkan masyarakat akan kepentingan mengamalkan gaya hidup berkualiti.  

Pelbagai corak, rupa bentuk kempen sama ada menerusi media cetak, elektronik mahupun kuasa media sosial telah dibuat tetapi kempen tinggal kempen.

Satu lagi tabiat kurang sihat bagi penulis ialah sikap sesetengah orang yang suka melepak dan makan pada waktu tengah malam.

Apatah lagi, dengan banyaknya gerai makan 24 jam dan restoran makanan segera. Semua ini memberi banyak pilihan, contoh kepada warga kota dan secara tidak langsung menjejaskan pengambilan makanan mereka.

Bertambah kritikal apabila ada yang kurang bersenam atas alasan sibuk bekerja atau malas kerana asyik berkepit dengan telefon pintar melayan rakan media sosial yang dirasakan lebih seronok berbanding aktiviti mengeluarkan peluh!

Sudah diakui kemajuan sains dan teknologi yang bertujuan membolehkan rakyat hidup selesa, sebenarnya sedikit sebanyak turut menyumbang kepada sikap 'malas’ masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup  sihat.

Perkara seperti ini sudah tentunya tidak boleh dipandang ringan, apa tah lagi ada ibu bapa yang cenderung membiarkan anak mereka bermain dengan gajet daripada melakukan aktiviti luar.

Alasan yang diberi, cara itu lebih selamat daripada melepaskan anak mereka bermain di taman yang mungkin terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan. Melihat senario ini, maka tidak menghairankan apabila negara kita berhadapan dengan peningkatan masalah 'masyarakat obesiti'.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 (NHMS) mendapati kelaziman obesiti meningkat berbanding kajian lepas iaitu sebanyak 17.7 peratus (3.3 juta) penduduk dewasa di negara ini adalah obes.

Amalan diet makanan tidak seimbang, pengambilan gula berlebihan serta gaya hidup menjurus kepada peningkatan risiko Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

Berdasarkan data NHMS,  sebanyak 17.5 peratus dengan anggaran 3.5 juta penduduk mengalami masalah diabetes, 30.3 peratus atau 6.1 juta penduduk menghidap hipertensi manakala paras kolesterol tinggi pula kini mencecah 47.7 peratus.

Apa yang lebih membimbangkan adalah data diperoleh ini diambil daripada lapisan masyarakat berusia lebih 18 tahun !

Ini secara jelas dapat dilihat bahawa trend penyakit kronik yang sebelum ini sinonim dengan warga emas sudah mula menular dalam kalangan generasi muda!

Pastinya situasi ini tidak boleh dibiar berlarutan. Masyarakat perlu sedar bahawa komplikasi penyakit NCD secara umumnya bukan datang tiba-tiba tetapi mungkin dalam tempoh antara 15 hingga 30 tahun akan datang.

Contoh paling ketara ialah diabetes atau kencing manis, antara penyakit popular NCD yang berisiko mengundang pelbagai komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, buta bahkan penyakit jantung.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam satu laporan akhbar sekitar Mac tahun ini dipetik sebagai berkata jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap lima pada masa ini dianggarkan mencecah 400,000 orang!

Keadaan ini amat menakutkan malah terdapat laporan kira-kira 70 peratus kematian yang berlaku di hospital kerajaan pada setiap tahun adalah berpunca daripada penyakit NCD. Justeru, kita tidak boleh lagi memandang ringan akan perihal ini.

Apatah lagi, hospital kerajaan semakin hari semakin sesak, berikutan ribuan masyarakat mendapatkan rawatan.

Untuk kekal sihat, sebenarnya tidak susah tetapi ia menuntut disiplin yang tinggi dan ini juga semestinya peringatan kepada penulis mengamalkan gaya hidup berkualiti.

Masyarakat perlu sedar bahawa kesihatan mereka adalah tanggungjawab mereka sendiri! - Bernama