Kedinginan yang menyelubungi dan pemandangan bukit bukau disaluti kabus tebal pagi itu cukup menyegarkan.
Berjalan di atas titi kayu pelantar dan saat itu asap berkepul-kepul dari bawah menghangatkan badan.
Berjalan sepanjang 200 meter di atas titi kayu ini membawa pengunjung melihat mata air panas yang mengalir ke seluruh kawasan.
Di pertengahan jalan, pondok ‘Natural Sauna’ yang di bawahnya terdapat beberapa mata air panas semula jadi memberikan peluang kepada pengunjung untuk bersauna secara percuma.
Terasa sedikit berpeluh, tetapi ia nyata cukup menyegarkan, sekali gus membuatkan pengunjung, penulis dan rakan media berasa nyaman.
Itulah yang dirasai saat berkunjung ke Felda Residence Hot Spring, Sungkai, Perak baru-baru ini.
Dibuka pada 2003 dengan keluasan 6.5 hektar dengan lebih kurang 99 mata air semula jadi, Felda Residence Hot Spring nyata memberikan pengalaman unik kepada pengunjungnya.
Lokasinya di tengah-tengah ladang sawit dan dikelilingi bukit-bukau yang menghijau, ia bukan saja menawarkan keseronokan mandi atau berendam di kolam air panas, tetapi turut menyajikan pemandangan indah mendamaikan.
Pengunjung juga dapat rawatan kesihatan secara semula jadi dengan mandi-manda atau sekadar merendam kaki di dalam kolam.
Ini kerana mandi air panas bukan saja menenangkan minda, tetapi mampu menjadi salah satu cara rawatan alternatif pelbagai penyakit seperti penyakit kulit.
Bagi yang ingin berendam air panas, kolam utama dengan kepanasan sekitar 30 hingga 40 darjah Celsius adalah tempatnya. Di sini, pengunjung boleh merendam kaki atau terus berenang.
Bagaimanapun, apabila badan berasa hangat dan sudah berendam kira-kira 15 minit, pengunjung disarankan keluar dari kolam, minum banyak air kosong dan berehat sebentar sebelum mandi semula.
Selain berendam di kolam air panas, mencuba laluan refleksologi juga cukup menyegarkan.
Menariknya, laluan refleksologi di sini sedikit berbeza dengan yang lainnya kerana pengunjung akan berjalan di atas batu-batu kecil yang turut mengalirkan air panas.
Kepada yang ingin merawat atau mencantikkan kulit, menyapu alga yang terdapat di kolam air panas di laluan refleksologi nyata mengujakan.
Tidak jauh dari situ, terdapat mata air panas semula jadi dengan suhu 100 darjah celcius untuk merebus telur.
Salah satu kebaikan merebus telur dengan mata air panas itu ia membuang bau hanyir dan kolesterol dalam telur.
Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan membawa telur ayam sendiri sebaliknya perlu membelinya di kaunter.
Dijual pada harga RM5 untuk enam biji telur ayam, disediakan dengan mangkuk dan kicap.
Puas menikmati kehangatan air panas semula jadi, berendam di kolam air sejuk pula menambahkan keterujaan pengunjung terutama kanak-kanak.
Walaupun airnya lebih sejuk kerana menggunakan air bukit, keriuhan dan keseronokan si anak kecil mandi manda memang terpancar.
Si ibu dan bapa pula pastinya tersenyum puas melihat kegembiraan mereka.
Tidak puas seharian berendam air panas dan sejuk, Felda Residence Hot Springs menawarkan dua jenis penginapan iaitu Villa Eksekutif dan 64 bilik deluxe yang menawarkan keselesaan dengan pelbagai kemudahan.
Lapan belas vila dengan pilihan satu, dua atau tiga bilik ini dilengkapi ruang tamu dan dapur lengkap untuk memasak.
Uniknya, setiap vila di sini dilengkapi jakuzi air panas semula jadi persendirian khusus buat penghuni villa yang ingin berendam bersama keluarga.
Restoran dan kios menjual makanan juga turut disediakan buat pengunjung yang ingin menjamu selera.
Memanah dan ATV turut disediakan buat pengunjung yang inginkan aktiviti tambahan.
Di sini juga sangat sesuai buat pengunjung mengadakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan termasuk bermain bola sepak, acara sukaneka dan aktiviti hari keluarga.
Berlatarkan landskap yang menarik, kehangatan air panas semula jadi dan kesejukan air bukit bercuti di Felda Residence Hot Springs ini cukup menyeronokkan.
Untuk maklumat lanjut hubungi 05-4388803 atau layari laman web www.feldatravel.com.my.
Sumber: MyMetro