KUALA LUMPUR - Pelakon, Remy Ishak, menjelaskan biarpun mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, namun beliau enggan terburu-buru kerana perlu mengukuhkan pelbagai aspek sebelum menyandang gelaran suami.
Remy atau nama penuhnya, Mohamad Zalimie Ishak, 35, berkata beliau pastinya berkongsi berita gembira bersama peminat sekiranya sudah menetapkan tarikh untuk berkahwin dengan cinta hatinya, Ezza Yusof.
"Setakat ini saya belum mempunyai tarikh untuk mendirikan rumah tangga, tetapi jika ada rezeki, pastinya saya akan berkongsi kepada umum. Memang saya dan tunang ada merancang, namun banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dulu.
"Jika diikutkan, semestinya saya ingin berkahwin secepat mungkin, tetapi kita tidak boleh terburu-buru kerana rasanya, diri saya belum sempurna untuk bergelar suami. Selain aspek kewangan, pelbagai aspek perlu dikukuhkan sebagai persiapan diri.
"Apa yang pasti, saya meminta kepada semua pihak mendoakan yang baik-baik saja buat saya dan tunang. Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, saya pasti membuat kenyataan mengenai perkara itu," katanya kepada BH Online.
Majlis pertunangan Remy dan Ezza berlangsung di kediaman bakal isterinya di Pahang, 30 April lalu.
Dalam perkembangan terbaru, Remy kini sedang menjalani penggambaran siri mini, Dosa, di Indonesia. Selain Remy, siri kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia itu turut menampilkan Datuk M Nasir, Ashraf Sinclair dan Hisyam Hamid.
Mulai 7 September depan pula, beliau akan muncul dengan filem edaran Primeworks Studios, Kau Takdirku, di samping Ezzaty Abdullah dan Bront Palarae.
Sumber: BH Online