ISTERI kepada penyanyi Hafiz Hamidun iaitu Joy Revfa memohon agar tidak ada mana-mana pihak yang menyalahkan atau memfitnah mereka ekoran masalah rumah tangga yang dihadapi.
Joy atau nama sebenar Siti Arifah Amin, 30, berkata buat masa ini dia belum bersedia mengeluarkan kenyataan dan hanya berserah dengan apa saja yang berlaku.
"Kenyataan rasmi akan dikeluarkan nanti dan buat masa ini saya belum boleh beri komen apa-apa mengenai isu tersebut.
"Insya-Allah semuanya baik-baik. Mohon tak perlu salahkan atau memfitnah mana-mana pihak.
"Saya hanya berserah kepada Allah apa saja yang berlaku," kata Joy ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Dugaan Hafiz Hamidun Selepas 3 Bulan Kahwin
Bagaimanapun, pengusaha kosmetik ini tidak mahu memberi sebarang komen mengenai hubungannya dengan Hafiz.
Dalam pada itu, Joy memberitahu dia tidak tertekan dengan dugaan besar tersebut dan masih mampu meneruskan kerjaya seperti biasa.
"Alhamdulillah, Allah selalu lindungi dan memberikan ketenangan untuk meneruskan kerjaya saya.
"Biarlah semua berjalan dengan apa adanya. Doakan supaya semuanya baik-baik saja," ujarnya.
Menerusi laporan mStar Online pada Khamis, Hafiz, 33, meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi berhubung rumah tangganya yang akan dibuat nanti.
Kedua-dua pasangan berkenaan juga dikatakan tidak lagi berkongsi gambar-gambar mereka di laman sosial masing-masing yang mengukuhkan spekulasi rumah tangga mereka mempunyai masalah.
Pasangan ini bertunang pada 23 Mac dan kemudian diijabkalbukan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei lalu dengan sekali lafaz.
Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: Mstar Online