SEREMBAN - “Bukan niat saya untuk mencari publisiti dan melariskan jualan, tetapi mahu berkongsi kisah mengenai tindakan pelanggan makan tanpa membuat bayaran,” kata Syazleena Shamsul, 27, pemilik restoran Mokiso Banana yang beroperasi di Ampangan, di sini.
Syazleena ditemui Harian Metro susulan tular gambar resit pembayaran pelanggan yang melarikan diri dan tidak menjelaskan bayaran RM92.60 selepas makan di restorannya.
Kisah pelanggannya yang tidak membuat bayaran itu mulai tular di laman sosial Facebook pada minggu lalu, selepas dia memuat naik gambar resit pembayaran berkenaan untuk berkongsi pengalamannya dengan orang ramai.
Dia yang mengusahakan restoran makanan barat berkata, kejadian itu berlaku pada 11 Februari lalu apabila sekumpulan pelanggan datang ke restorannya dan menempah makanan barat serta minuman.
“Mereka datang ke restoran saya pada jam 6 petang, tetapi saya hanya menyedari mereka tidak membuat bayaran pada jam 10 malam,” katanya yang memulakan perniagaan pada Disember tahun lalu.
Katanya, dia tidak menyangka kisahnya itu menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi netizen.
Syazleena beranggapan kejadian pelanggan cabut lari sebagai dugaan dan ujian buatnya dalam menjalankan perniagaan itu.
Sumber: MyMetro