“Kami tak mahu bolos!”.
Itu tekad kapten skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Adib Zainudin yang mahu memastikan Indonesia tidak sewenang-wenangnya menembusi pertahanan mereka dalam pertemuan separuh akhir di Stadium Shah Alam, hari ini.
Malaysia mencatat rekod bersih empat kemenangan berturut-turut untuk mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan A namun mereka gagal mempertahankan kubu daripada dibolosi dalam semua perlawanan itu.
Malah gol yang dibolosi ketika menang 2-1 dengan Brunei dan Singapura serta menang 3-1 ke atas Myanmar dan Laos adalah kesilapan pemain sendiri.
Bagi Adib yang bakal bertindak sebagai pemain pertahanan bersama Irfan Zakaria dan Adam Nor Azlin, dia mahu semua rakan sepasukannya lebih fokus kali ini.
“Ini perlawanan lebih sukar, saya dan rakan-rakan yang lain perlu elak daripada melakukan kesilapan mudah. Kita kena bekerja keras untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi.
“Pemain sekarang berada di tahap terbaik dan saya percaya siapa saja yang akan diturunkan sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Adib, 22, yang kini mewakili kelab FELCRA FC antara tonggak ketika menewaskan Indonesia 3-0 di kelayakan Kejohanan AFB B-23 di Bangkok, bulan lalu, dan dia tahu ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan lawan itu.
“Mereka mempunyai penyerang yang bagus daripada segi fizikal dan bahagian sayap kiri dan kanan juga perlu diawasi. Kita hanya perlu mengikut taktikal yang diberikan oleh jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) dan saya percaya kita ada peluang untuk ke final,” katanya.
Sumber: MyMetro